KUALA LUMPUR – Pengawal keselamatan warga Filipina yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat lalu berhubung kes rompakan rantai emas bernilai RM150,000, di kedai emas Tomei Gold & Jewellery di Setapak menukar pengakuan kepada tidak bersalah hari ini.
Dalam prosiding itu, Rakib Asla, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merompak 93 utas rantai emas dengan mengacukan pistol jenis Revolver .38 special model Arminius kepada pengurus kedai emas itu, L. Robert, 52, di LotG-53 KL Festival City, Taman Danau Kota, Setapak, di sini, 31 Oktober lepas.
Tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan kedai emas itu, didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Rakib yang berpakaian lokap menggelengkan kepalanya selepas jurubahasa bertanyakan sama ada tertuduh mengaku atau tidak terhadap pertuduhan tersebut.
Pada 15 November lalu, Rakib mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, nasib rakannya Hussin Jalain, 29, yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Jumaat lalu terhadap pertuduhan menyimpan harta curi iaitu dua utas rantai emas bernilai RM3,000, akan diketahui esok. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar