3 Ogos 2013
TAIPEI - Wakil rakyat Taiwan bertindak membaling air dan bergusti sesama mereka dalam satu pergaduhan di Parlimen semalam berhubung isu pembinaan sebuah lagi loji nuklear di negara itu.
Berpuluh-puluh wakil rakyat pemerintah dan pembangkang bergaduh semasa mereka cuba merampas podium. Mereka saling membaling air botol dan cawan plastik.
Dua wakil rakyat turut jatuh ke lantai semasa mereka bergelut dalam insiden memalukan itu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Parlimen Taiwan dijadual mengundi untuk mengadakan referendum bagi menghentikan pembinaan loji nuklear keempat itu yang dikenali sebagai Nuke 4 dekat sini.
Namun, parti pembangkang, Parti Demokratik Progresif (DPP) memberitahu, pengundian tersebut akan ditangguhkan ke minggu hadapan ekoran pergaduhan tersebut.
DPP menentang pembinaan loji itu kerana faktor keselamatan. Namun, parti pemerintah, Kuomintang memberi amaran pemansuhan fasiliti itu akan menyebabkan kekurangan bekalan kuasa dan menjejaskan sektor ekonomi.
Insiden terbaharu itu turut mencetuskan kritikan awam dalam forum di internet dan laman web sosial.
"Parlimen ini lebih kelam-kabut daripada sebuah pasar dengan wakil-wakil rakyat memperbodohkan diri mereka sendiri," kata seorang pembaca akhbar China Times, Dick Wang.
Kebimbangan mengenai loji nuklear itu meningkat sejak reaktor nuklear Fukushima bocor selepas bahagian timur laut Jepun dilanda tsunami pada tahun 2011. - AFP
0 komentar:
Posting Komentar