(Oleh Norutul Ilham)
PETALING JAYA 30 Ogos: Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Tropicana, dekat sini jam 3.00 petang ini.
Mengesahkan perkara tersebut, Sharifah memberitahu, sebab dia dipanggil kerana beliau merupakan penghantar email jemputan media berhubung pendedahan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkenaan proses pemutihan 6P, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dikehendaki bersumpah untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional.
Menurutnya, jemputan media itu dihantar kepada pengamal media bertarikh 15 Ogos tahun lalu bagi memaklumkan sidang media akan diadakan pada keesokan harinya di Ibu Pejabat KEADILAN, Merchant Square, Petaling Jaya.
Katanya, keterangan beliau itu akan dicatat oleh pegawai daripada Balai Polis Shah Alam.
“Saya terima panggilan daripada pegawai Balai Polis Shah Alam, Seksyen 9, semalam yang mengkehendaki saya hadir memberikan keterangan petang ini. Jadi saya minta mengambil keterangan saya di Balai Polis Tropicana sahaja.
“Saya akan ditemani Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.
Berhubung pendedahan proses pemutihan 6P, Zuraida dalam sidang medianya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menunjukkan bukti surat sumpah yang diberikan kepada PATI.
Mereka dikehendaki melafazkan sumpah berbunyi, “Assalamualaikum, wallahi, wabillahi, watawallahi”
“Saya…(nama PATI) dengan nama Allah berikrar dan berjanji akan taat setia kepada Yang di Pertuan Agong, Sultan-sultan dan negara Malaysia.
“Saya/suami/isteri/anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/Barisan Nasional.
“Saya juga akan terus memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu”.
“Saya berjanji akan menyimpan RAHSIA ke atas perkara ini dan jika saya ingkar saya akan menerima padahnya”,” tulis surat itu lagi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
0 komentar:
Posting Komentar